REKA bentuk bangunan itu seakan-akan sebuah bangsal. Melihat keadaan binaan yang diperbuat daripada lapisan papan selain serpihan cat berwarna putih yang kelihatan sudah tertanggal membuatkannya kelihatan agak usang.
Namun, bangunan yang disangkakan rumah itu sebenarnya ialah sebuah kilang memproses roti yang masih kekal seperti asalnya walaupun zaman telah berubah. Meninjau kilang yang dikatakan sudah berusia hampir 100 tahun itu, bermula dari pintu gerbang menghala ke ruang masuk utama hingga ke pintu belakang, jelas membayangkan pemiliknya, Mokhtar Amat Mohd. Taqi, 49, sarat dengan nilai-nilai sentimental.
Begitupun, mungkin ramai orang luar tidak mengetahui cerita di sebalik kilang roti yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat di kawasan Slim River, Perak itu.
Percaya atau tidak, kilang roti milik arwah bapa Mokhtar iaitu Mohd. Taqi Habib telah wujud hampir 100 tahun lalu berdasarkan maklumat asal usul kilang berkenaan daripada cerita orang tua di situ.
Kilang tersebut pada asalnya dikendalikan oleh seorang individu yang juga mengusahakan pembuatan roti sekitar tahun 1912.
Bagaimanapun, kilang tersebut kemudian dibeli oleh pakcik Mokhtar, Abdul Kadir Habib pada tahun 1950-an yang ketika itu baru berhijrah dari Lucknow, Uttar Pradesh, India ke Malaysia.
Dia hanya dapat berniaga buat seketika kerana menemui ajal disebabkan sakit tua. Sebelum itu, arwah mewasiatkan bapa Mokhtar, Mohd. Taqi untuk menerajui perniagaan berkenaan untuk melangsaikan hutang-hutangnya.
Bermula dari detik itulah, empayar roti keluarga tersebut bermula sehingga hari ini yang diteruskan oleh generasi kedua iaitu Mokhtar sendiri.
Tiada nama khas
Menariknya, populariti roti yang diusahakan keluarga itu mampu bertahan lebih 60 tahun walaupun tidak mempunyai nama khas.
Sebaliknya, nama roti yang diusahakan Mokhtar diberikan sendiri oleh pelanggan-pelanggan tetapnya dengan gelaran seperti roti Babu, roti Tapah, roti Benggali dan roti sedap.
“Ketika itu, ayah hanya menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan.
“Macam-macam nama diberikan pembeli. Jika dilihat pada lesen perniagaan nama yang didaftarkan ialah roti Mokhtar, tetapi jarang sekali mendengar nama itu,” ujarnya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Jalan Masjid Lama, Slim River, Perak baru-baru ini.
Mengimbau kembali bibit-bibit pembabitannya dalam bidang itu, segala-galanya bermula selepas beliau tamat persekolahan.
Menurut anak kelima daripada enam adik-beradik itu, selepas tamat belajar dia menjadi guru sementara di salah sebuah sekolah swasta di Slim River.
Kerjaya itu tidak menghalang beliau membantu ayahnya. Setiap hujung minggu dia akan menunggang motosikal dan membawa roti-roti yang telah dibuat ayahnya untuk dijual ke kampung-kampung berdekatan.
Sekitar tahun 1985, beliau mula serius dengan perniagaan roti memandangkan mengalami masalah pembayaran cukai untuk mendapat lesen guru atau lebih dikenali sebagai lesen biru.
Disebabkan keadaan itu, Mokhtar membuat keputusan untuk membantu ayahnya sepenuh masa memandangkan dia satu-satunya anak yang menunjukkan minat untuk mempelajari selok-belok pembuatan roti.
Mokhtar mengakui pada permulaan dia agak sukar menyesuaikan diri terutamanya ketika waktu menjual roti kerana terpaksa berpanas di bawah terik matahari dan kadangkala meredah hujan.
“Pada hari pertama keluar menjual, saya demam dan sakit tekak selama seminggu kerana tidak tahan dengan cuaca yang berubah-ubah, namun lama-kelamaan ia tidak lagi menjadi masalah utama.
“Pada masa yang sama, ayah juga mengajar cara-cara membuat roti seperti bahan-bahan yang digunakan selain proses pembakaran,” ujarnya sambil menyifatkan tiada sebarang resipi rahsia selain menggunakan pembakar roti yang telah berusia lebih 100 tahun itu.
Sudah 27 tahun Mokhtar menerajui perniagaan bapanya itu, namun hanya satu sahaja kaedah yang dikekalkan iaitu membakar roti menggunakan ketuhar tradisional batu-bata dengan bahan bakarnya ialah kayu serta tempurung.
Meskipun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu, keadaan kilang tersebut tetap sama. Disebabkan mahu mengekalkan ciri-ciri keaslian kilang itu, Mokhtar jarang melakukan perubahan melainkan jika berlaku kerosakan.
Bapa kepada tujuh anak tersebut mengakui ketuhar tersebut menyebabkan roti-roti yang dihasilkan menjadi lebih lembut dan sedap.
“Bukan mahu mendabik dada. Saya sebenarnya tidak mengikuti sebarang kelas masakan cuma mengamalkan apa yang diajar oleh arwah bapa,”ujarnya.
Bagaimanapun, Mokhtar mengakui kerja-kerja membuat roti itu mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam termasuk menguli, proses membuat doh dan membakar roti.
Anak jati Slim River itu memberitahu, kerja-kerja tersebut bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan dia melakukan kesemua kerja-kerja berkenaan sendirian tanpa mengupah pekerja.
Menurutnya, dia tidak mengupah pekerja kerana tiada sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni membuat roti itu.
Keaslian roti
Tuntutan rezeki itu menyebabkan setiap hari beliau terpaksa bangun seawal 6 pagi untuk menyediakan bahan-bahan membuat roti berkenaan.
Menurutnya, selepas solat Subuh dia akan mula menyediakan adunan roti seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 1 petang.
Dalam sehari, Mokhtar menghabiskan sebanyak satu guni tepung, 2 kilogram (kg) marjerin, 4kg gula dan 200 gram yis untuk menyediakan kira-kira 450 biji roti.
Roti-roti itu terdiri daripada roti kelapa, kacang, krim, bantal, bijan, paun dan roti keras. Kesemua inti itu dibuat sendiri kecuali inti kacang yang siap dibeli daripada pembekal.
Ketika ditanya mengenai harga, Mokhtar memberitahu, harga roti tersebut dijual pada harga 20 sen, 40 sen dan RM1.40 mengikut jenis. Berbicara lanjut mengenai perniagaan itu, Mokhtar bersyukur kerana keaslian rotinya membuatkan dia terkenal di pekan kecil itu.
Ia berikutan selepas menjual roti di kilang, dia akan membawa kesemua roti berkenaan ke sebuah kampung iaitu Slim Village.
Beliau tidak perlu menggunakan hon motosikal untuk memaklumkan tentang kehadirannya di kampung itu sebaliknya, para pelanggan akan menunggunya di jalan-jalan utama setiap hari sebaik jam menunjukkan pukul 3.30 petang.
“Mereka akan menunggu saya kecuali jika hari tersebut hujan. Kalau hujan mereka tahu saya akan datang lambat sedikit,” jelasnya yang mampu meraih sekitar RM100 setiap hari.
Ternyata, aroma dan rasa roti yang sedap membuatkan pelanggan bukan sahaja menunggu di tepi jalan bahkan, berkunjung ke kilangnya untuk membeli roti panas yang baru keluar dari ketuhar.
Orang ramai yang berminat untuk membeli atau mempelajari ilmu membuat roti boleh menghubungi Mokhtar ditalian 016-5186200.