IKLAN

Tuesday, 26 April 2016

Nasi Padang Tanjung Malim


Seorang kawan ' marah ' kerana saya seolah-olah memaksanya turut mengesahkan bahawa makanan Nasi Padang di Andri Nasi Padang Tanjung Malim yang terletak di tepi jalan besar Tanjung Malim - Ipoh (jalan lama) dan di sebelah jalan restoran makanan segera KFC Tanjung Malim itu sedap.  

Hakikatnya, bukan semua orang sukakan Nasi Padang. Ahli keluarga saya sendiri (isteri dan anak-anak) tidak suka Nasi Padang. Bahkan sebut sahaja hendak makan di restoran Nasi Padang, mereka pasti tidak pernah bersetuju. 

'Ketidaksukaan' seseorang kepada Nasi Padang atau lain-lain makanan sehingga tidak mengiktiraf sedapnya makanan di sesebuah restoran/kedai makan yang diakui ramai adalah hak peribadi masing-masing.

'Andri Nasi Padang Tanjung Malim' adalah sebuah kedai makan yang diusahakan di bangunan buruk. Kecuali pada kain pemidang 'Andri Nasi Padang Tanjung Malim - mengimbau masakan bonda yang ori ' yang direntangkan di dalam kedai, kedai makan ini tidak ada papan tanda nama kedai yang biasanya terdapat di kebanyakan restoran/kedai makan  yang lain. 

Papan kenyataan kecil yang digantung di luar kedai makan ini menunjukkan waktu berniaga bermula pada jam 1.00 tengah hari. Bagaimanapun, melalui pengalaman singgah makan di kedai ini dan maklum balas dari pelanggan tetap, kedai makan ini biasanya dibuka seawal jam 1.15 - 1.30 tengah hari.

Sedemikian, pelanggan terpaksa datang awal dan menunggu sehingga kedai dibuka kerana kalau lambat datang besar kemungkinan lauk-pauk kehabisan.

Saya difahamkan bahawa menunggu beberapa ketika di dalam cuaca panas terik atau hujan sebelum kedai dibuka adalah perkara biasa. Ketika saya menungunjungi kedai makan ini, saya melihat ramai pelanggan sudah menunggu di luar kedai yang belum dibuka. Ada juga di kalangan pelanggan yang menunggu di dalam kereta masing-masing. Kedai makan ini dibuka pada jam 1.20 tengah hari pada hari saya singgah makan.

Jangan berangan-angan hendak memesan teh o ice atau air buah. Kedai makan ini cuma menyediakan teh o kosong. Mungkin tiada salahnya jika ada di kalangan pelanggan menuduh kedai makan ini 'tidak mesra pelanggan' . Sebaliknya, pelangganlah yang perlu mesra dengan kedai makan ini.

Kedai makan ini seolah-olah tidak pedulikan ' SOP '. Namun, faktor itu tidak sesekali melemahkan semangat pelanggan tetap yang kebanyakannya datang dengan kereta mewah.
   
Saya mengungkapkan aura tarikan kedai makan Andri Nasi Padang Tanjung Malim dalam satu ungkapan berbunyi: 'Pelanggan tetap tidak akan lari, pelanggan baru yang datang buat pertama kali akan datang lagi'.
Cakap banyak pun tidak guna. Kalau ada kesempatan singgahlah di kedai makan ini dan sahkan sedap atau tidaknya sendiri. Secara peribadi pada saya di antara yang paling 'power' ialah sambal Padangnya.
 

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...